Ulangan 29 BM

Perjanjian TUHAN dengan Umat Israel di Tanah Moab

1 Inilah syarat-syarat perjanjian yang diperintahkan TUHAN kepada Musa, untuk dibuat dengan umat Israel semasa mereka di tanah Moab. Perjanjian itu merupakan tambahan kepada perjanjian yang dibuat oleh TUHAN dengan mereka di Gunung Sinai.

2 Musa menyuruh semua orang Israel berkumpul lalu berkata kepada mereka, “Kamu sendiri melihat apa yang sudah dilakukan TUHAN terhadap raja Mesir, pegawai-pegawainya, dan seluruh negerinya.

3 Kamu sudah nampak wabak yang dahsyat, mukjizat, dan keajaiban yang dilakukan TUHAN.

4 Tetapi sampai hari ini Dia masih belum membolehkan kamu memahami semua yang sudah kamu alami.

5 Selama empat puluh tahun ketika TUHAN memimpin kamu melalui padang gurun, pakaian dan kasut kamu tidak usang.

6 Kamu tidak mempunyai roti untuk makanan, wain atau minuman keras untuk minuman, tetapi TUHAN menyediakan segala keperluan kamu supaya kamu tahu bahawa Dialah Allah kamu.

7 Apabila kita sampai ke tempat ini, Raja Sihon dari Hesybon dan Raja Og dari Basan datang menyerang kita, tetapi kita mengalahkan mereka

8 dan merebut tanah mereka. Kemudian kita memberikan tanah mereka kepada suku Ruben, Gad, dan separuh suku Manasye.

9 Patuhilah dengan setia semua syarat perjanjian ini supaya kamu berjaya dalam segala usaha kamu.

10 Pada hari ini kamu semua berdiri di hadapan TUHAN, Allah kamu: semua pemimpin, pegawai, kaum lelaki,

11 kaum wanita, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal bersama dengan kamu, yang memotong kayu serta mengambil air untuk kamu.

12 Kamu berada di sini pada hari ini untuk mengikat perjanjian yang dibuat oleh TUHAN, Allah kamu dengan kamu, dan untuk menerima kewajipan-kewajipannya.

13 Dengan perjanjian itu, TUHAN mengesahkan kamu menjadi umat-Nya, dan Dia menjadi Allah kamu, seperti yang dijanjikan-Nya kepada kamu dan kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub.

14 TUHAN membuat perjanjian ini dengan segala tuntutannya, bukan dengan kami sahaja

15 melainkan dengan kita semua yang berdiri di sini pada hari ini, di hadapan TUHAN, Allah kita, dan juga dengan keturunan kita pada masa hadapan.”

Akibat Tidak Setia kepada TUHAN

16 “Kamu masih ingat akan kehidupan kamu di Mesir, dan keadaannya semasa kamu melalui negeri-negeri bangsa lain.

17 Kamu nampak patung-patung berhala mereka yang menjijikkan, yang dibuat daripada kayu, batu, perak, dan emas.

18 Oleh itu, jagalah supaya tidak seorang pun di sini pada hari ini, sama ada lelaki, perempuan, keluarga, ataupun suku yang berpaling daripada TUHAN, Allah kita, lalu menyembah tuhan-tuhan bangsa lain. Perbuatan itu bagaikan akar yang tumbuh menjadi tanaman pahit dan beracun.

19 Di kalangan kamu yang mendengar tuntutan keras itu pada hari ini, jangan ada seorang pun yang berfikir bahawa dia akan tetap selamat meskipun dia berdegil dan menuruti kemahuannya sendiri. Perbuatan seperti itu akan membinasakan kamu semua, orang yang baik mahupun yang jahat.

20 TUHAN tidak akan mengampuni orang seperti itu. Sebaliknya, kemurkaan TUHAN yang bernyala-nyala akan menghanguskan orang itu, dan segala bencana yang tertulis di dalam kitab ini akan menimpa dia sehingga TUHAN membinasakan dia sama sekali.

21 TUHAN akan menjadikan dia satu contoh di hadapan semua suku Israel, lalu menimpa dia dengan segala kutuk yang disebut dalam perjanjian, yang tertulis di dalam kitab ini, yang mengandungi ajaran TUHAN.

22 Pada kemudian hari, keturunan kamu dan orang asing dari negeri-negeri jauh akan melihat bencana dan penderitaan yang didatangkan TUHAN ke tanah kamu.

23 Ladang kamu akan menjadi kersang dan tidak berguna kerana diliputi belerang dan garam. Tanahnya tidak dapat ditanami, bahkan rumput pun tidak dapat tumbuh di sana. Tanah kamu akan menjadi seperti kota Sodom, Gomora, Adma, dan Zeboim yang dimusnahkan TUHAN ketika Dia sangat murka.

24 Pada masa itu seluruh dunia akan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN berbuat demikian terhadap tanah mereka? Apakah yang menyebabkan Dia murka sedahsyat itu?’

25 Jawapannya adalah, ‘Oleh sebab umat TUHAN itu memungkiri perjanjian yang dibuat mereka dengan TUHAN, Allah nenek moyang mereka, ketika Dia membawa mereka keluar dari Mesir.

26 Mereka mengabdi kepada tuhan-tuhan lain yang belum pernah disembah oleh mereka, padahal TUHAN melarang mereka berbuat demikian.

27 Itulah sebabnya TUHAN murka terhadap umat-Nya dan mendatangkan segala bencana yang tertulis di dalam kitab ini ke tanah mereka.

28 Kemurkaan TUHAN menjadi begitu dahsyat sehingga Dia mencabut umat Israel dari negeri mereka, lalu membuang mereka ke tanah asing sampai hari ini.’

29 Memang ada beberapa hal yang dirahsiakan oleh TUHAN, Allah kita, tetapi Dia sudah menyatakan Taurat-Nya kepada kita, dan kita serta keturunan kita mesti mematuhinya selama-lamanya.”