1 Akhirnya, menurut perintah TUHAN, kita kembali ke padang gurun melalui jalan yang menuju ke Teluk Akaba. Lama sekali kita mengembara di kawasan perbukitan negeri Edom.
2 Kemudian TUHAN memberitahu aku
3 bahawa sudah cukup lama kita mengembara di perbukitan itu, dan kita harus menuju ke utara.
4 Dia menyuruh aku memberikan petunjuk ini kepada kamu, ‘Tidak lama lagi kamu akan memasuki kawasan perbukitan negeri Edom, wilayah sanak saudara kamu, iaitu keturunan Esau. Mereka akan takut kepada kamu tetapi kamu tidak boleh
5 berperang melawan mereka, kerana Aku tidak mahu memberi kamu satu meter persegi pun daripada bahagian tanah mereka. Aku sudah memberikan negeri Edom kepada keturunan Esau.
6 Kamu boleh membeli makanan dan air daripada mereka.’
7 Ingatlah! TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala usaha kamu. Dia telah memelihara kamu selama kamu mengembara di padang gurun yang luas ini. Dia telah melindungi kamu selama empat puluh tahun dan memberikan segala sesuatu yang kamu perlukan.
8 Kemudian kita berjalan terus, dan meninggalkan jalan yang melalui kota Elat dan Ezion-Geber, yang menghala ke Laut Mati, lalu kita belok ke arah timur laut dan menuju ke gurun di Moab.
9 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan ganggu orang Moab, keturunan Lot, ataupun berperang melawan mereka. Aku sudah memberi mereka tanah Ar, dan Aku tidak akan memberi kamu sedikit bahagian pun daripada tanah mereka.’(
10 Dahulu orang Emim, satu bangsa raksasa, tinggal di Ar. Mereka setinggi orang Enak yang juga bangsa raksasa.
11 Seperti orang Enak, orang Emim juga dikenal sebagai orang Refaim, tetapi orang Moab menamakan mereka orang Emim.
12 Dahulu orang Hor tinggal di Edom, tetapi mereka diusir dan dibinasakan oleh keturunan Esau. Kemudian keturunan Esau menduduki tanah mereka, sama seperti umat Israel, yang pada kemudian hari mengusir musuh dari tanah yang diberikan oleh TUHAN kepada mereka.)
13 Kemudian kita menyeberang Sungai Zered sebagaimana yang diperintahkan TUHAN.
14 Peristiwa itu berlaku tiga puluh lapan tahun selepas kita meninggalkan Kades-Barnea. Semua orang yang dapat berperang daripada generasi itu sudah meninggal, sebagaimana yang difirmankan TUHAN.
15 TUHAN terus-menerus menentang mereka sehingga akhirnya mereka semua binasa.
16 Selepas mereka semua meninggal,
17 TUHAN berfirman kepada kita,
18 ‘Pada hari ini kamu akan melalui wilayah Moab, mengikut jalan yang melintasi kota Ar.
19 Kemudian kamu akan dekat dengan negeri orang Amon, keturunan Lot. Jangan ganggu atau serang mereka, kerana Aku tidak akan memberi kamu sedikit bahagian pun daripada tanah yang sudah Aku berikan kepada mereka.’(
20 Wilayah itu juga dikenal sebagai tanah orang Refaim, menurut nama bangsa yang tinggal di sana dahulu; orang Amon menamakan bangsa itu Zamzumim.
21 Orang Refaim berbadan tinggi seperti orang Enak. Mereka sangat kuat dan jumlah mereka banyak, tetapi TUHAN membinasakan mereka supaya orang Amon dapat menduduki tanah itu.
22 Demikian juga yang dilakukan TUHAN untuk orang Edom, iaitu keturunan Esau, yang tinggal di kawasan perbukitan Edom. TUHAN membinasakan orang Hor supaya orang Edom dapat menduduki tanah mereka. Sampai sekarang orang Edom masih tinggal di sana.
23 Tanah di sepanjang pantai Laut Tengah diduduki oleh orang dari pulau Kreta. Mereka sudah membinasakan orang Awi, penduduk asli tempat itu, dan merebut seluruh tanah di situ sampai ke kota Gaza, di sebelah selatan.)
24 Selepas kita melintasi Moab, TUHAN berfirman kepada kita, ‘Sekarang berangkatlah dan seberangilah Sungai Arnon. Aku akan menyerahkan Sihon, raja Amori dari Hesybon, dan juga tanahnya, kepada kamu. Seranglah dia, dan dudukilah tanahnya.
25 Mulai hari ini Aku akan menyebabkan bangsa-bangsa di mana sahaja, takut kepada kamu. Setiap orang akan gementar kerana ketakutan apabila mendengar nama kamu disebut.’ ”
26 “Kemudian aku mengirim beberapa orang utusan dari padang gurun Kedemot kepada Raja Sihon di Hesybon, dengan tawaran perdamaian berikut:
27 ‘Benarkanlah hamba semua melintasi negeri tuanku. Hamba sekalian akan berjalan terus tanpa menyimpang jalan.
28 Hamba sekalian akan membayar makanan yang hamba semua makan dan minuman yang hamba semua minum. Hamba sekalian hanya mahu melintasi negeri tuanku,
29 sehingga hamba semua menyeberangi Sungai Yordan untuk pergi ke tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah hamba semua kepada hamba sekalian. Keturunan Esau yang tinggal di Edom dan orang Moab yang tinggal di Ar, sudah membenarkan hamba sekalian melintasi wilayah mereka.’
30 Tetapi Raja Sihon tidak membenarkan kita melintasi negerinya. Oleh itu, TUHAN, Allah kamu menyebabkan Raja Sihon keras kepala dan nekad untuk menentang kita, supaya kita dapat mengalahkan baginda dan merebut wilayahnya, yang kita duduki sampai sekarang.
31 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Lihatlah, Aku sudah menyerahkan Raja Sihon dan negerinya kepada kamu. Rebutlah dan dudukilah tanahnya.’
32 Raja Sihon keluar bersama dengan semua orangnya untuk menyerang kita dekat kota Yahas,
33 tetapi TUHAN, Allah kita menyerahkan baginda kepada kita. Kita membunuh Raja Sihon, putera-putera baginda, dan semua orang baginda.
34 Pada masa itu juga kita merebut dan memusnahkan setiap kota, dan membunuh setiap orang lelaki, perempuan, serta kanak-kanak. Kita tidak membiarkan seorang pun hidup.
35 Kita mengambil ternakan dan menjarah kota-kota mereka.
36 TUHAN, Allah kita menolong kita menaklukkan semua kota, dari Aroer di hujung lembah Arnon, dan kota yang di tengah lembah itu sampai ke daerah Gilead. Tiada satu kota pun mempunyai tembok yang terlalu kuat bagi kita.
37 Tetapi kita tidak mendekati wilayah orang Amon, atau pinggir Sungai Yabok, atau kota mana pun di kawasan perbukitan atau tempat lain yang dilarang oleh TUHAN, Allah kita.”