10 Setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan, TUHAN akan membenarkan kamu menduduki tanah itu lalu menetap di sana. Dia akan melindungi kamu daripada semua musuh supaya kamu dapat hidup dengan aman.
11 TUHAN akan memilih satu tempat yang menjadi tempat beribadat kepada-Nya. Di sanalah kamu mesti membawa segala yang sudah aku perintahkan: korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban lain, persepuluhan dan persembahan lain, dan pemberian istimewa yang kamu janjikan kepada TUHAN.
12 Bersukacitalah di hadirat TUHAN di tempat itu, bersama dengan anak-anak kamu, hamba-hamba kamu, dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu. Ingatlah, bahawa orang Lewi tidak akan mempunyai tanah mereka sendiri.
13 Jangan persembahkan korban kamu di tempat yang kamu pilih sendiri;
14 persembahkanlah korban itu hanya di satu tempat yang dipilih oleh TUHAN, di salah satu wilayah suku kamu. Hanya di sana kamu boleh mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan melakukan segala yang sudah aku perintahkan.
15 Tetapi kamu bebas menyembelih ternakan kamu dan makan dagingnya di mana sahaja kamu tinggal. Kamu boleh makan seberapa banyak ternakan yang diberikan TUHAN kepada kamu. Baik kamu tahir ataupun najis, kamu semua boleh makan daging binatang itu sebagaimana kamu makan daging rusa atau kijang.
16 Tetapi jangan makan darah binatang itu; curahkan darahnya ke tanah seperti air.