14 persembahkanlah korban itu hanya di satu tempat yang dipilih oleh TUHAN, di salah satu wilayah suku kamu. Hanya di sana kamu boleh mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan melakukan segala yang sudah aku perintahkan.
15 Tetapi kamu bebas menyembelih ternakan kamu dan makan dagingnya di mana sahaja kamu tinggal. Kamu boleh makan seberapa banyak ternakan yang diberikan TUHAN kepada kamu. Baik kamu tahir ataupun najis, kamu semua boleh makan daging binatang itu sebagaimana kamu makan daging rusa atau kijang.
16 Tetapi jangan makan darah binatang itu; curahkan darahnya ke tanah seperti air.
17 Tiada suatu pun yang kamu persembahkan kepada TUHAN boleh dimakan di tempat tinggal kamu: baik persepuluhan gandum, wain, minyak zaitun, ataupun anak sulung lembu dan anak sulung domba, pemberian yang kamu janjikan kepada TUHAN, persembahan sukarela, ataupun persembahan lain.
18 Kamu dan anak-anak kamu, bersama dengan hamba-hamba kamu dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu, harus makan persembahan itu hanya di hadirat TUHAN, Allah kamu, di satu tempat ibadat yang dipilih oleh TUHAN Allah kamu. Di tempat itu kamu harus bersukacita atas segala yang sudah kamu usahakan.
19 Jangan abaikan orang Lewi, selama kamu tinggal di tanah kamu.
20 Apabila TUHAN meluaskan wilayah kamu seperti yang dijanjikan-Nya, kamu boleh makan daging bila-bila sahaja kamu mahu.