18 Kamu dan anak-anak kamu, bersama dengan hamba-hamba kamu dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu, harus makan persembahan itu hanya di hadirat TUHAN, Allah kamu, di satu tempat ibadat yang dipilih oleh TUHAN Allah kamu. Di tempat itu kamu harus bersukacita atas segala yang sudah kamu usahakan.
19 Jangan abaikan orang Lewi, selama kamu tinggal di tanah kamu.
20 Apabila TUHAN meluaskan wilayah kamu seperti yang dijanjikan-Nya, kamu boleh makan daging bila-bila sahaja kamu mahu.
21 Jika tempat ibadat itu terlalu jauh, maka bila-bila sahaja, kamu boleh menyembelih lembu atau domba yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu. Kamu boleh makan daging binatang itu di rumah, seperti yang sudah aku katakan kepada kamu.
22 Sesiapa sahaja, yang tahir ataupun najis, boleh makan daging itu sebagaimana dia makan daging rusa atau kijang.
23 Tetapi jangan makan daging yang masih berdarah, kerana nyawa binatang itu terkandung di dalam darahnya. Kamu tidak boleh makan nyawa bersama dengan daging.
24 Jangan makan darah; curahkanlah darah ke tanah seperti air.