21 Jika tempat ibadat itu terlalu jauh, maka bila-bila sahaja, kamu boleh menyembelih lembu atau domba yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu. Kamu boleh makan daging binatang itu di rumah, seperti yang sudah aku katakan kepada kamu.
22 Sesiapa sahaja, yang tahir ataupun najis, boleh makan daging itu sebagaimana dia makan daging rusa atau kijang.
23 Tetapi jangan makan daging yang masih berdarah, kerana nyawa binatang itu terkandung di dalam darahnya. Kamu tidak boleh makan nyawa bersama dengan daging.
24 Jangan makan darah; curahkanlah darah ke tanah seperti air.
25 Jika kamu mematuhi hukum itu, TUHAN akan berkenan kepada kamu, dan kamu serta keturunan kamu akan sejahtera.
26 Bawalah persembahan dan pemberian yang sudah kamu janjikan kepada TUHAN ke satu tempat ibadat itu.
27 Di sana persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah TUHAN. Persembahkan juga korban yang dagingnya kamu makan, dan curahkan darahnya ke atas mazbah.