27 Di sana persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah TUHAN. Persembahkan juga korban yang dagingnya kamu makan, dan curahkan darahnya ke atas mazbah.
28 Segala perkara yang sudah aku perintahkan kepada kamu harus ditaati dengan setia. Oleh itu kamu dan keturunan kamu akan sejahtera selama-lamanya, kerana kamu melakukan apa yang benar dan berkenan kepada TUHAN, Allah kamu.”
29 “TUHAN, Allah kamu akan membinasakan bangsa-bangsa itu apabila kamu menyerang mereka, dan Dia akan menolong kamu menduduki serta mendiami tanah mereka.
30 Setelah TUHAN membinasakan bangsa-bangsa itu, berhati-hatilah. Jangan ikut kebiasaan agama mereka, kerana hal itu akan mendatangkan malapetaka. Jangan dapatkan maklumat tentang cara mereka menyembah tuhan-tuhan mereka dengan maksud meniru cara mereka itu.
31 Jangan sembah TUHAN, Allah kamu dengan cara mereka menyembah tuhan-tuhan mereka, kerana apabila mereka menyembah tuhan-tuhan itu, mereka melakukan semua perkara jijik yang dibenci oleh TUHAN. Bahkan anak-anak mereka sendiri pun dibakar oleh mereka di atas mazbah sebagai korban kepada tuhan-tuhan mereka.
32 Lakukanlah segala yang sudah aku perintahkan kepada kamu; jangan tambahkan atau kurangkan apa-apa kepada perintah itu.