1 “Pada akhir setiap tahun ketujuh, hapuskanlah hutang orang yang berhutang wang kepada kamu.
2 Beginilah caranya: Setiap orang Israel yang sudah meminjamkan wang kepada sesama orang Israel, mesti menghapuskan hutang itu. Dia tidak boleh menagih hutang itu, kerana menurut keputusan TUHAN sendiri, hutang itu sudah dihapuskan.
3 Kamu boleh menagih wang yang dipinjam oleh orang asing, tetapi kamu tidak boleh menagih wang yang dipinjam oleh sesama bangsa kamu.
4 TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu. Tidak seorang pun daripada bangsa kamu akan menjadi miskin,
5 jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu, dan dengan teliti melaksanakan segala perkara yang aku perintahkan kepada kamu hari ini.
6 TUHAN akan memberkati kamu sebagaimana yang dijanjikan-Nya. Kamu akan meminjamkan wang kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak akan meminjam daripada sesiapa pun. Kamu akan menguasai banyak bangsa, tetapi tiada satu bangsa pun akan menguasai kamu.