7 Jika ada seorang Israel yang memerlukan pertolongan di salah sebuah kota di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, jangan pentingkan diri sendiri, dan jangan kamu enggan memberikan pertolongan kepadanya.
8 Sebaliknya, kamu harus bermurah hati dan memberi pinjam kepada orang itu seberapa banyak yang diperlukannya.
9 Jangan kamu enggan memberi dia pinjam sesuatu, hanya kerana tahun untuk menghapuskan hutang sudah hampir. Jangan biar fikiran sejahat itu masuk ke dalam hati kamu. Jika kamu enggan memberi pinjam, orang itu akan mengadu kepada TUHAN, dan kamu akan dinyatakan bersalah.
10 Berilah dia apa sahaja dengan rela dan murah hati, lalu TUHAN akan memberkati kamu dalam segala usaha kamu.
11 Di kalangan orang Israel, selalu akan terdapat beberapa orang miskin dan yang memerlukan pertolongan. Oleh itu aku memerintahkan kamu supaya bermurah hati terhadap mereka.”
12 “Jika seorang Israel, lelaki atau perempuan, menjual dirinya sebagai abdi kepada kamu, bebaskanlah dia setelah dia bekerja bagi kamu selama enam tahun. Pada tahun yang ketujuh, kamu mesti membebaskan dia.
13 Apabila kamu membebaskan dia, jangan biarkan dia pergi dengan tangan kosong.