9 Jangan kamu enggan memberi dia pinjam sesuatu, hanya kerana tahun untuk menghapuskan hutang sudah hampir. Jangan biar fikiran sejahat itu masuk ke dalam hati kamu. Jika kamu enggan memberi pinjam, orang itu akan mengadu kepada TUHAN, dan kamu akan dinyatakan bersalah.
10 Berilah dia apa sahaja dengan rela dan murah hati, lalu TUHAN akan memberkati kamu dalam segala usaha kamu.
11 Di kalangan orang Israel, selalu akan terdapat beberapa orang miskin dan yang memerlukan pertolongan. Oleh itu aku memerintahkan kamu supaya bermurah hati terhadap mereka.”
12 “Jika seorang Israel, lelaki atau perempuan, menjual dirinya sebagai abdi kepada kamu, bebaskanlah dia setelah dia bekerja bagi kamu selama enam tahun. Pada tahun yang ketujuh, kamu mesti membebaskan dia.
13 Apabila kamu membebaskan dia, jangan biarkan dia pergi dengan tangan kosong.
14 Dengan murah hati berilah dia apa sahaja yang dikurniakan oleh TUHAN kepada kamu, seperti domba, biji-bijian, dan wain.
15 Ingatlah bahawa dahulu kamu dijadikan hamba di Mesir, dan TUHAN, Allah kamu telah membebaskan kamu. Itulah sebabnya aku memberikan perintah ini kepada kamu.