1 “Hormatilah TUHAN, Allah kamu dengan merayakan Paska pada bulan Abib kerana pada bulan itu, pada suatu malam, TUHAN, Allah kamu menyelamatkan kamu dari Mesir.
2 Pergilah ke satu tempat ibadat itu, lalu di sana sembelihlah seekor daripada domba atau lembu kamu untuk perjamuan Paska bagi menghormati TUHAN, Allah kamu.
3 Apabila kamu makan perjamuan itu, jangan makan roti yang beragi. Selama tujuh hari kamu harus makan roti yang tidak beragi, seperti yang kamu lakukan dahulu semasa kamu melarikan diri dengan tergesa-gesa dari Mesir. Makanlah roti yang tidak beragi - roti yang disebut roti penderitaan - supaya seumur hidup kamu, kamu ingat akan hari kamu meninggalkan Mesir, tempat penderitaan itu.
4 Selama tujuh hari, seorang pun di tanah kamu tidak dibenarkan menyimpan ragi di dalam rumahnya; dan daging binatang yang disembelih pada malam pertama itu mesti dimakan pada malam itu juga.
5-6 Sembelihlah binatang untuk perjamuan Paska di satu tempat ibadat itu, dan bukan di mana-mana tempat lain di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Sembelihlah binatang itu pada waktu matahari terbenam, seperti pada waktu kamu meninggalkan Mesir dahulu.