12 Taatilah perintah-perintah ini dengan setia. Ingatlah bahawa kamu diperhamba di Mesir dahulu.”
13 “Setelah kamu menebah semua gandum dan memeras semua buah anggur, rayakanlah Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari.
14 Bersukacitalah bersama dengan anak-anak kamu, pekerja-pekerja kamu, orang Lewi, orang bangsa asing, anak yatim piatu, dan balu yang tinggal di kota-kota kamu.
15 Hormatilah TUHAN, Allah kamu dengan merayakan perayaan ini selama tujuh hari di satu tempat ibadat itu. Bersukacitalah kerana TUHAN sudah memberkati tuaian dan pekerjaan kamu.
16 Semua orang lelaki bangsa kamu mesti datang untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu tiga kali setahun, di satu tempat ibadat: pada Perayaan Paska, Perayaan Menuai, dan Perayaan Pondok Daun. Setiap orang lelaki harus membawa persembahan
17 menurut kemampuannya dan menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan TUHAN, Allah kamu kepadanya.”
18 “Lantiklah hakim-hakim dan pegawai-pegawai lain di tiap-tiap kota yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Semua orang itu mesti menghakimi rakyat dengan adil.