16 Semua orang lelaki bangsa kamu mesti datang untuk beribadat kepada TUHAN, Allah kamu tiga kali setahun, di satu tempat ibadat: pada Perayaan Paska, Perayaan Menuai, dan Perayaan Pondok Daun. Setiap orang lelaki harus membawa persembahan
17 menurut kemampuannya dan menurut banyaknya berkat yang sudah diberikan TUHAN, Allah kamu kepadanya.”
18 “Lantiklah hakim-hakim dan pegawai-pegawai lain di tiap-tiap kota yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu. Semua orang itu mesti menghakimi rakyat dengan adil.
19 Mereka tidak boleh bersikap curang atau berat sebelah apabila menjalankan penghakiman. Mereka tidak boleh menerima rasuah kerana rasuah membutakan orang, bahkan orang bijak dan jujur sekalipun, sehingga mereka membuat keputusan yang salah.
20 Kamu harus sentiasa adil dan tidak berat sebelah, supaya kamu boleh menduduki tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu terus menetap di sana.
21 Apabila kamu membina mazbah untuk TUHAN, Allah kamu, jangan tegakkan tiang kayu yang menjadi lambang Dewi Asyera di sebelah mazbah itu.
22 Jangan dirikan tiang batu bagi penyembahan berhala di tempat itu. TUHAN Allah kamu membenci perbuatan itu.