13 Kemudian semua orang akan mendengar tentang perkara itu dan menjadi takut, sehingga tidak seorang pun akan berani bertindak seperti itu lagi.”
14 “Setelah kamu memiliki tanah yang akan diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu sudah menetap di sana, mungkin kamu menginginkan seorang raja seperti bangsa-bangsa di sekeliling kamu.
15 Pastikanlah bahawa orang yang kamu pilih menjadi raja itu adalah orang yang dipilih oleh TUHAN. Raja itu mesti orang bangsa kamu sendiri. Jangan pilih orang asing menjadi raja kamu.
16 Raja itu tidak boleh mempunyai pasukan berkuda yang besar bilangannya. Raja itu tidak boleh menghantar orang ke Mesir untuk membeli kuda, kerana TUHAN sudah berfirman bahawa umat-Nya tidak boleh balik ke Mesir.
17 Raja itu tidak boleh mempunyai banyak isteri, kerana hal itu akan menyebabkan baginda berpaling daripada TUHAN; raja itu tidak boleh memperkaya diri dengan emas atau perak.
18 Apabila baginda ditabalkan menjadi raja, baginda mesti diberikan sebuah kitab hukum Allah yang disalin daripada kitab asli yang disimpan oleh imam-imam suku Lewi.
19 Kitab itu mesti selalu ada dekat raja, dan baginda mesti membaca kitab itu seumur hidupnya, supaya baginda belajar menghormati TUHAN dan dengan setia mentaati segala perintah di dalam kitab itu.