9 Di situ, ajukanlah perkara itu kepada imam-imam suku Lewi, dan kepada hakim yang bertugas pada waktu itu. Biarlah mereka mengadili perkara itu.
10 Mereka akan memberikan keputusan tentang perkara itu, dan kamu mesti melakukan dengan teliti apa yang dikatakan mereka kepada kamu.
11 Terimalah keputusan mereka dan laksanakanlah apa yang ditetapkan mereka sampai kepada hal-hal terperinci.
12 Sesiapa berani membantah hakim atau imam yang bertugas mesti dihukum mati; dengan cara ini kamu membasmi kejahatan itu di Israel.
13 Kemudian semua orang akan mendengar tentang perkara itu dan menjadi takut, sehingga tidak seorang pun akan berani bertindak seperti itu lagi.”
14 “Setelah kamu memiliki tanah yang akan diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan kamu sudah menetap di sana, mungkin kamu menginginkan seorang raja seperti bangsa-bangsa di sekeliling kamu.
15 Pastikanlah bahawa orang yang kamu pilih menjadi raja itu adalah orang yang dipilih oleh TUHAN. Raja itu mesti orang bangsa kamu sendiri. Jangan pilih orang asing menjadi raja kamu.