1 “Setelah TUHAN, Allah kamu membinasakan bangsa-bangsa, Dia akan memberikan tanah mereka kepada kamu. Selepas kamu merebut kota-kota dan rumah-rumah mereka serta tinggal di sana,
2-3 bahagikanlah tanah itu menjadi tiga wilayah. Setiap wilayah harus mempunyai sebuah kota yang mudah dicapai, supaya apabila seseorang membunuh orang lain, dia boleh lari ke salah sebuah kota itu untuk mendapat perlindungan.
4 Jika dengan tidak sengaja seseorang membunuh orang yang bukan musuhnya, dia boleh lari ke salah sebuah kota itu supaya selamat.
5 Umpamanya, jika dua orang pergi ke hutan untuk menebang kayu, dan sedang seorang menebang kayu, mata kapaknya terlepas dari gagang lalu membunuh temannya. Orang yang membunuh dengan tidak sengaja itu boleh lari ke salah sebuah kota itu supaya tidak dibunuh.
6 Jika kota perlindungan sebuah sahaja, jarak kota itu mungkin terlalu jauh dan sanak keluarga yang bertanggungjawab untuk membalas dendam mungkin dapat menangkap orang yang sudah membunuh dengan tidak sengaja itu, lalu dengan darah panas sanak keluarga itu akan membunuh seorang yang tidak bersalah. Orang itu membunuh dengan tidak sengaja, dan lagi pun orang yang terbunuh itu bukan musuhnya.