6 Jika kota perlindungan sebuah sahaja, jarak kota itu mungkin terlalu jauh dan sanak keluarga yang bertanggungjawab untuk membalas dendam mungkin dapat menangkap orang yang sudah membunuh dengan tidak sengaja itu, lalu dengan darah panas sanak keluarga itu akan membunuh seorang yang tidak bersalah. Orang itu membunuh dengan tidak sengaja, dan lagi pun orang yang terbunuh itu bukan musuhnya.
7 Itulah sebabnya aku memerintah kamu supaya mengasingkan tiga buah kota perlindungan.
8 Apabila TUHAN, Allah kamu meluaskan tanah kamu sebagaimana yang dijanjikan-Nya kepada nenek moyang kamu, serta memberikan seluruh tanah yang sudah dijanjikan-Nya kepada kamu,
9 maka kamu harus memilih tiga buah kota lagi. (TUHAN akan memberikan seluruh tanah itu kepada kamu jika kamu melakukan segala yang aku perintahkan kepada kamu hari ini, dan jika kamu mengasihi TUHAN, Allah kamu serta hidup menurut ajaran-Nya.)
10 Lakukan hal itu, supaya orang yang tidak bersalah tidak akan mati, dan supaya kamu tidak berdosa kerana membunuh orang yang tidak bersalah di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu.
11 Tetapi lain halnya jika seseorang mengadang musuhnya dan dengan sengaja serta rasa benci membunuh dia, lalu melarikan diri ke salah sebuah kota perlindungan untuk mendapat perlindungan.
12 Dalam hal itu para pemimpin dari kota si pembunuh itu sendiri harus memanggil dia, lalu menyerahkan dia kepada sanak keluarga yang bertanggungjawab untuk membalas dendam bagi pembunuhan itu. Dengan demikian pembunuh itu boleh dihukum mati.