4 Dia menyuruh aku memberikan petunjuk ini kepada kamu, ‘Tidak lama lagi kamu akan memasuki kawasan perbukitan negeri Edom, wilayah sanak saudara kamu, iaitu keturunan Esau. Mereka akan takut kepada kamu tetapi kamu tidak boleh
5 berperang melawan mereka, kerana Aku tidak mahu memberi kamu satu meter persegi pun daripada bahagian tanah mereka. Aku sudah memberikan negeri Edom kepada keturunan Esau.
6 Kamu boleh membeli makanan dan air daripada mereka.’
7 Ingatlah! TUHAN, Allah kamu sudah memberkati kamu dalam segala usaha kamu. Dia telah memelihara kamu selama kamu mengembara di padang gurun yang luas ini. Dia telah melindungi kamu selama empat puluh tahun dan memberikan segala sesuatu yang kamu perlukan.
8 Kemudian kita berjalan terus, dan meninggalkan jalan yang melalui kota Elat dan Ezion-Geber, yang menghala ke Laut Mati, lalu kita belok ke arah timur laut dan menuju ke gurun di Moab.
9 Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan ganggu orang Moab, keturunan Lot, ataupun berperang melawan mereka. Aku sudah memberi mereka tanah Ar, dan Aku tidak akan memberi kamu sedikit bahagian pun daripada tanah mereka.’(
10 Dahulu orang Emim, satu bangsa raksasa, tinggal di Ar. Mereka setinggi orang Enak yang juga bangsa raksasa.