Ulangan 22:19-25 BM

19 Mereka juga harus mendenda lelaki itu sebanyak seratus keping wang perak. Wang itu harus diberikan kepada bapa mentuanya, kerana lelaki itu telah memalukan seorang wanita Israel. Lagi pun, wanita itu akan tetap menjadi isteri lelaki itu dan tidak boleh diceraikan seumur hidupnya.

20 Tetapi jika tuduhan orang itu benar, dan tidak ada bukti bahawa wanita itu masih dara pada waktu dia berkahwin,

21 maka para pemimpin kota itu harus membawa wanita itu ke pintu rumah bapanya. Kemudian orang lelaki kota itu harus merejam dia sampai mati, kerana dia telah melakukan perbuatan yang memalukan di kalangan bangsa kita. Dia telah bersetubuh sebelum berkahwin, pada waktu dia masih tinggal di rumah bapanya. Dengan demikian, kamu akan membasmi kejahatan itu.

22 Jika seorang lelaki tertangkap basah ketika bersetubuh dengan isteri orang lain, kedua-dua mereka mesti dihukum mati. Dengan demikian, kamu akan membasmi kejahatan itu.

23 Andaikata di suatu kota ada seorang lelaki tertangkap basah ketika bersetubuh dengan seorang gadis yang sudah bertunang dengan orang lain,

24 kamu harus membawa mereka berdua ke luar kota dan merejam mereka sampai mati. Gadis itu mesti dihukum mati kerana dia tidak berteriak minta pertolongan walaupun dia berada di dalam kota, dan suaranya mudah didengar orang. Lelaki itu juga mesti dihukum mati kerana dia bersetubuh seorang gadis yang sudah bertunang. Dengan demikian kamu membasmi kejahatan itu.

25 Tetapi lain halnya jika di kawasan luar kota, seorang lelaki merogol seorang gadis yang sudah bertunang dengan orang lain. Dalam hal itu hanya lelaki itu yang harus dihukum mati.