14 Jagalah supaya perkhemahan kamu tidak najis, kerana TUHAN, Allah kamu bersama-sama kamu di perkhemahan itu untuk melindungi kamu dan memberi kamu kemenangan atas musuh. Jangan lakukan apa-apa yang tidak senonoh, yang akan menyebabkan TUHAN meninggalkan kamu.”
15 “Jika seorang hamba lari daripada tuannya lalu datang kepada kamu untuk minta perlindungan, jangan suruh dia balik.
16 Dia boleh tinggal di bandar mana sahaja yang dipilihnya. Jangan perlakukan dia dengan kejam.
17 Orang Israel, baik lelaki mahupun perempuan, tidak boleh menjadi pelacur di kuil-kuil berhala.
18 Wang yang diperoleh dengan cara ini tidak boleh dibawa ke dalam Rumah TUHAN, Allah kamu untuk memenuhi nazar. Pelacur di kuil berhala dibenci oleh TUHAN.
19 Apabila kamu meminjamkan wang, makanan, atau apa sahaja kepada sesama orang Israel, jangan minta faedah.
20 Kamu boleh minta faedah apabila kamu meminjamkan wang kepada orang bangsa asing, tetapi kamu tidak boleh berbuat demikian apabila meminjamkan wang kepada orang sebangsa kamu. Taatilah peraturan ini, barulah TUHAN, Allah kamu akan memberkati segala yang kamu lakukan di tanah yang akan kamu duduki.