Ulangan 24:3-9 BM

3 Tetapi selepas beberapa waktu, lelaki itu juga tidak menyukainya lagi. Kemudian lelaki itu memberikan surat cerai kepadanya dan mengusir dia dari rumahnya. Atau mungkin juga lelaki yang kedua itu meninggal.

4 Dalam kedua-dua hal itu, suami pertama perempuan itu tidak boleh berkahwin dengan dia lagi. Suami itu harus menganggapnya sebagai perempuan yang sudah dicemarkan. Jika lelaki itu berkahwin dengan perempuan itu lagi, perkara itu menjadi suatu penghinaan kepada TUHAN. Kamu tidak boleh melakukan dosa sedahsyat itu di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu.”

5 “Seorang lelaki yang baru sahaja berkahwin tidak boleh disuruh menjadi askar ataupun melakukan tugas wajib lain. Dia mesti diberikan kelepasan selama satu tahun supaya dia dapat mengurus rumah tangganya dan menyenangkan hati isterinya.

6 Apabila kamu meminjamkan sesuatu kepada seseorang, kamu tidak boleh mengambil batu kisarannya yang digunakan untuk mengisar gandum, sebagai jaminan. Dengan mengambilnya kamu merampas alat yang digunakan keluarganya untuk menyediakan makanan bagi penyambung hidup.

7 Sesiapa yang menculik sesama orang Israel, lalu menjadikan orang itu hambanya, atau menjual dia sebagai hamba, penculik itu mesti dihukum mati. Dengan demikian kamu akan membasmi kejahatan itu.

8 Apabila kamu menghidap penyakit kulit yang mengerikan, lakukanlah dengan teliti apa yang diperintahkan imam suku Lewi kepada kamu. Turutilah petunjuk-petunjuk yang sudah aku berikan kepada mereka.

9 Ingatlah apa yang telah dilakukan TUHAN, Allah kamu kepada Miryam dalam perjalanan kamu dari Mesir.