Ulangan 26:9-15 BM

9 Dia membawa kami ke sini dan memberi kami tanah yang kaya dan subur ini.

10 Oleh itu, sekarang kepada TUHAN, aku mempersembahkan bahagian pertama daripada hasil tanaman yang telah diberikan-Nya kepadaku.’Selepas itu letakkan bakul itu di hadapan TUHAN, dan beribadatlah kepada-Nya di sana.

11 Bersyukurlah bagi segala rezeki yang sudah diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu dan keluarga kamu. Ajaklah suku Lewi dan orang asing yang tinggal di kalangan kamu ikut serta dalam perayaan itu.

12 Tiap-tiap tahun, kamu harus memberikan persepuluhan hasil tanaman kamu kepada TUHAN. Tetapi pada setiap tahun yang ketiga, berikanlah persepuluhan hasil tanaman kamu kepada orang Lewi, orang asing, anak yatim piatu, dan balu, supaya di tiap-tiap kota kamu, mereka mendapat makanan yang diperlukan. Setelah kamu berbuat demikian,

13 berkatalah kepada TUHAN, ‘Tidak sedikit pun persepuluhan yang harus dipersembahkan kepada-Mu tertinggal di rumahku. Aku sudah memberikan semuanya kepada orang Lewi, orang asing, anak yatim piatu, dan balu, sebagaimana Engkau perintahkan aku. Aku tidak membantah atau melupakan apa pun yang Engkau perintahkan tentang persembahan persepuluhan.

14 Aku tidak makan sedikit pun daripada persepuluhan itu semasa aku berkabung. Aku tidak membawanya keluar dari rumah ketika aku najis. Aku tidak memberikannya sebagai persembahan bagi orang mati. Aku sudah menurut perintah-Mu, ya TUHAN. Aku sudah melakukan segala yang Engkau perintahkan tentang persembahan persepuluhan.

15 Pandanglah ke bawah dari tempat-Mu yang suci di syurga dan berkatilah umat-Mu Israel; berkatilah juga tanah yang kaya dan subur ini, yang sudah Engkau berikan menurut janji-Mu kepada nenek moyang kami.’ ”