15 “Tetapi jika kamu tidak taat kepada TUHAN, Allah kamu dan tidak setia melakukan segala perintah dan hukum-Nya yang aku berikan kepada kamu hari ini, maka semua kutuk ini akan menimpa kamu:
16 Terkutuklah kota dan ladang kamu.
17 Terkutuklah tuaian gandum kamu, dan makanan yang kamu buat daripada gandum itu.
18 Terkutuklah kamu sehingga anak kamu sedikit sahaja, hasil tanaman kamu sedikit, dan lembu serta domba kamu tidak banyak.
19 Terkutuklah segala usaha kamu.
20 Jika kamu berbuat jahat dan menolak TUHAN, Dia akan mendatangkan bencana, kekacauan, dan kesusahan dalam segala usaha kamu, sehingga dalam waktu yang singkat sahaja, kamu akan binasa sama sekali.
21 Dia akan mendatangkan penyakit demi penyakit kepada kamu, sehingga tidak seorang pun di kalangan kamu tinggal di tanah yang akan kamu duduki itu.