26 Apabila kamu mati, burung dan binatang liar akan datang lalu makan mayat kamu. Tiada seorang pun akan mengusir burung dan binatang itu.
27 TUHAN akan mendatangkan bisul pada tubuh kamu seperti yang dilakukan-Nya kepada orang Mesir dahulu. Kulit kamu akan diliputi kudis dan keruping yang gatal, tetapi tidak ada ubatnya.
28 TUHAN akan menyebabkan kamu hilang akal, dan menjadikan kamu buta, serta bingung.
29 Pada siang hari, kamu akan meraba-raba seperti orang buta, dan kamu tidak dapat mencari jalan. Apa pun yang kamu buat, kamu tidak akan berjaya. Kamu akan sentiasa ditindas dan dirompak, dan tiada seorang pun akan menolong kamu.
30 Kamu akan bertunang dengan seorang gadis, tetapi orang lain akan berkahwin dengannya. Kamu akan membina rumah, tetapi kamu tidak akan mendiaminya. Kamu akan menanam pokok anggur, tetapi kamu tidak akan makan buahnya.
31 Lembu kamu akan disembelih di depan mata kamu, tetapi kamu tidak akan makan sedikit pun dagingnya. Keldai kamu akan diseret sementara kamu memandangnya, dan keldai itu tidak akan dikembalikan kepada kamu. Domba kamu akan diberikan kepada musuh, dan tidak seorang pun dapat menolong kamu.
32 Di depan mata kamu, anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan, akan diberikan sebagai hamba kepada orang bangsa asing. Tiap-tiap hari, mata kamu pedih mencari anak-anak kamu, tetapi usaha kamu itu sia-sia, kerana mereka tidak akan kembali.