30 Kamu akan bertunang dengan seorang gadis, tetapi orang lain akan berkahwin dengannya. Kamu akan membina rumah, tetapi kamu tidak akan mendiaminya. Kamu akan menanam pokok anggur, tetapi kamu tidak akan makan buahnya.
31 Lembu kamu akan disembelih di depan mata kamu, tetapi kamu tidak akan makan sedikit pun dagingnya. Keldai kamu akan diseret sementara kamu memandangnya, dan keldai itu tidak akan dikembalikan kepada kamu. Domba kamu akan diberikan kepada musuh, dan tidak seorang pun dapat menolong kamu.
32 Di depan mata kamu, anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan, akan diberikan sebagai hamba kepada orang bangsa asing. Tiap-tiap hari, mata kamu pedih mencari anak-anak kamu, tetapi usaha kamu itu sia-sia, kerana mereka tidak akan kembali.
33 Bangsa asing akan merampas segala hasil tanaman yang sudah kamu usahakan dengan susah payah. Kamu sendiri tidak akan menerima suatu apa pun, melainkan penindasan yang terus-menerus dan kekejaman.
34 Penderitaan akan menyebabkan kamu hilang akal.
35 TUHAN akan meliputi kaki kamu dengan kudis yang menyakitkan, dan tidak dapat sembuh. Bisul akan meliputi kamu dari hujung kaki sampai ke hujung rambut.
36 TUHAN akan membuang kamu dan raja kamu ke negeri asing, tempat yang tidak pernah menjadi kediaman kamu ataupun nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu.