32 Di depan mata kamu, anak-anak kamu, baik lelaki mahupun perempuan, akan diberikan sebagai hamba kepada orang bangsa asing. Tiap-tiap hari, mata kamu pedih mencari anak-anak kamu, tetapi usaha kamu itu sia-sia, kerana mereka tidak akan kembali.
33 Bangsa asing akan merampas segala hasil tanaman yang sudah kamu usahakan dengan susah payah. Kamu sendiri tidak akan menerima suatu apa pun, melainkan penindasan yang terus-menerus dan kekejaman.
34 Penderitaan akan menyebabkan kamu hilang akal.
35 TUHAN akan meliputi kaki kamu dengan kudis yang menyakitkan, dan tidak dapat sembuh. Bisul akan meliputi kamu dari hujung kaki sampai ke hujung rambut.
36 TUHAN akan membuang kamu dan raja kamu ke negeri asing, tempat yang tidak pernah menjadi kediaman kamu ataupun nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu.
37 Di negeri-negeri tempat TUHAN mencerai-beraikan kamu, orang akan terkejut melihat perkara yang terjadi kepada kamu. Mereka akan mengolok-olok dan mempermalukan kamu.
38 Kamu akan menanam banyak benih, tetapi menuai sedikit sahaja kerana belalang akan makan hasil tanaman kamu.