36 TUHAN akan membuang kamu dan raja kamu ke negeri asing, tempat yang tidak pernah menjadi kediaman kamu ataupun nenek moyang kamu. Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat daripada kayu dan batu.
37 Di negeri-negeri tempat TUHAN mencerai-beraikan kamu, orang akan terkejut melihat perkara yang terjadi kepada kamu. Mereka akan mengolok-olok dan mempermalukan kamu.
38 Kamu akan menanam banyak benih, tetapi menuai sedikit sahaja kerana belalang akan makan hasil tanaman kamu.
39 Kamu akan menanam anggur dan memelihara ladang anggur itu, tetapi kamu tidak akan memetik buah anggur ataupun meminum wain, kerana ulat akan makan pokok-pokok anggur.
40 Pokok-pokok zaitun akan tumbuh di seluruh negeri kamu, tetapi kamu tidak akan mendapat minyaknya kerana buahnya akan gugur.
41 Kamu akan mempunyai anak lelaki dan perempuan, tetapi kamu akan kehilangan mereka kerana mereka dibawa pergi sebagai tawanan perang.
42 Semua pokok dan tanaman kamu akan dimakan serangga.