Ulangan 28:49-56-57 BM

49 TUHAN akan mendatangkan suatu bangsa dari hujung bumi untuk melawan kamu, bangsa yang bahasanya tidak kamu fahami. Seperti burung helang, mereka akan menyambar kamu.

50 Mereka kejam dan tidak menaruh belas kasihan terhadap sesiapa pun, baik orang tua mahupun anak-anak.

51 Mereka akan mengambil ternakan dan hasil tanaman kamu, tetapi kamu akan mati kelaparan. Mereka tidak akan meninggalkan gandum, wain, minyak zaitun, lembu, ataupun domba bagi kamu, dan kamu akan mati.

52 Mereka akan menyerang tiap-tiap kota di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu, dan tembok-tembok tinggi serta kukuh yang kamu harap-harapkan itu akan roboh.

53 Apabila musuh mengepung kota kamu, kamu akan putus asa kerana kelaparan sehingga kamu makan anak-anak yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu.

54-55 Bahkan seorang lelaki bangsawan yang paling luhur budinya, akan menjadi begitu terdesak apabila kotanya dikepung, sehingga dia makan anak-anaknya sendiri kerana tidak ada lagi makanan lain. Dia tidak mahu membahagikannya dengan saudaranya sekalipun, atau isteri yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup.

56-57 Bahkan seorang wanita bangsawan yang paling luhur budinya, dan yang sangat kaya sehingga belum pernah berjalan kaki ke mana-mana tempat, akan berlaku demikian juga. Apabila musuh mengepung kotanya, dia akan menjadi begitu terdesak kerana kelaparan, sehingga dengan sembunyi-sembunyi dia akan makan bayi yang baru dilahirkannya, dan juga uri bayi itu. Dia tidak mahu membahagikannya dengan suami yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup.