53 Apabila musuh mengepung kota kamu, kamu akan putus asa kerana kelaparan sehingga kamu makan anak-anak yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu.
54-55 Bahkan seorang lelaki bangsawan yang paling luhur budinya, akan menjadi begitu terdesak apabila kotanya dikepung, sehingga dia makan anak-anaknya sendiri kerana tidak ada lagi makanan lain. Dia tidak mahu membahagikannya dengan saudaranya sekalipun, atau isteri yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup.
56-57 Bahkan seorang wanita bangsawan yang paling luhur budinya, dan yang sangat kaya sehingga belum pernah berjalan kaki ke mana-mana tempat, akan berlaku demikian juga. Apabila musuh mengepung kotanya, dia akan menjadi begitu terdesak kerana kelaparan, sehingga dengan sembunyi-sembunyi dia akan makan bayi yang baru dilahirkannya, dan juga uri bayi itu. Dia tidak mahu membahagikannya dengan suami yang dikasihinya, atau dengan anak-anaknya yang masih hidup.
58 Jika kamu tidak setia mentaati segala hukum Allah yang tertulis di dalam kitab ini, dan tidak menghormati TUHAN, Allah kamu yang agung dan menakjubkan,
59 Dia akan mendatangkan penyakit yang tidak dapat disembuhkan dan wabak yang tidak dapat dihentikan, kepada kamu dan keturunan kamu.
60 Dia akan menimpa kamu dengan semua penyakit dahsyat yang kamu takuti di Mesir dahulu. Kamu tidak akan sembuh daripada penyakit itu.
61 TUHAN akan mendatangkan segala macam penyakit dan wabak yang tidak disebut di dalam kitab ini, yang mengandungi hukum dan ajaran Allah. Kemudian kamu akan dibinasakan.