8 TUHAN, Allah kamu akan memberkati usaha kamu dan memenuhi gudang-gudang kamu dengan gandum. Dia akan memberkati kamu di tanah yang diberikan-Nya kepada kamu.
9 Jika kamu taat kepada TUHAN, Allah kamu dan melakukan segala perintah-Nya, Dia akan menjadikan kamu umat-Nya sendiri seperti yang sudah dijanjikan-Nya.
10 Kemudian semua bangsa di dunia akan tahu bahawa TUHAN sudah memilih kamu menjadi umat-Nya sendiri, dan mereka akan takut terhadap kamu.
11 TUHAN akan mengurniai kamu anak yang banyak. Ternakan kamu akan banyak, dan hasil tanaman kamu berlimpah-ruah di tanah yang telah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu untuk diberikan kepada kamu.
12 TUHAN akan menurunkan hujan pada musimnya dari tempat-tempat penyimpanan hujan di langit; Dia akan memberkati segala usaha kamu supaya kamu dapat memberi pinjaman kepada banyak bangsa, tetapi kamu sendiri tidak usah meminjam apa-apa daripada sesiapa pun.
13 TUHAN, Allah kamu akan menjadikan kamu pemimpin antara bangsa-bangsa dan bukan pengikut. Kamu akan sentiasa berjaya dan tidak pernah gagal, jika kamu taat dengan setia kepada segala perintah TUHAN yang aku berikan kepada kamu hari ini.
14 Tetapi jangan sekali-kali langgar perintah itu dengan apa cara pun, dan jangan sembah tuhan-tuhan lain.”