1 “Kemudian kita menuju ke utara, ke arah daerah Basan. Raja Og dari Basan datang dengan seluruh tenteranya untuk menyerang kita dekat kota Edrei.
2 Tetapi TUHAN berfirman kepadaku, ‘Jangan takut akan dia. Aku akan menyerahkan dia, tenteranya, dan seluruh wilayahnya kepadamu. Perlakukanlah dia sebagaimana engkau sudah memperlakukan Sihon, raja orang Amori, yang memerintah di Hesybon.’
3 Oleh itu TUHAN menyerahkan Raja Og dan rakyatnya kepada kita, dan kita membunuh mereka semua.
4 Pada masa itu juga, kita menaklukkan semua kota Raja Og, sebanyak enam puluh buah kota, iaitu seluruh daerah Argob, yang diperintah oleh Raja Og dari Basan. Tiada satu kota pun yang tidak kita rebut.
5 Semua kota itu diperkuat dengan tembok yang tinggi, pintu gerbang, dan palang untuk mengunci pintu gerbang. Selain itu, ada juga banyak pekan yang tidak mempunyai tembok.