Ulangan 3:13-19 BM

13 Aku memberikan daerah Gilead yang selebihnya kepada setengah suku Manasye, dan juga seluruh daerah Basan, tempat Raja Og memerintah dahulu, iaitu seluruh wilayah Argob.”(Basan terkenal sebagai tanah bangsa Refaim.

14 Yair, seorang daripada suku Manasye, menduduki seluruh wilayah Argob, iaitu Basan, sampai perbatasan Gesur dan Maakha. Dia menamakan pekan-pekan di situ menurut namanya sendiri. Sampai sekarang, pekan-pekan itu masih dikenal sebagai pekan-pekan Yair.)

15 “Aku memberikan daerah Gilead kepada puak Makhir daripada suku Manasye.

16 Aku memberikan daerah di antara Gilead dan Sungai Arnon kepada suku Ruben dan Gad. Bahagian tengah Sungai Arnon menjadi sempadan daerah mereka di sebelah selatan. Sempadan mereka di sebelah utara ialah Sungai Yabok, yang sebahagiannya menjadi sempadan negeri orang Amon.

17 Di sebelah barat, daerah mereka terbentang sampai ke Sungai Yordan, dari Tasik Galilea di utara sampai ke Laut Mati di selatan, dan sampai ke kaki Bukit Pisga di sebelah timur.

18 Pada masa itu juga aku memberikan perintah ini kepada mereka, ‘TUHAN, Allah kita sudah memberi kamu tanah di sebelah timur Sungai Yordan untuk menjadi tempat tinggal kamu. Sekarang lengkapilah askar-askar kamu dengan senjata, dan suruhlah mereka pergi ke seberang Sungai Yordan, supaya mereka mendahului suku-suku Israel yang lain untuk menolong mereka menduduki tanah itu.

19 Hanya anak isteri dan ternakan kamu yang boleh tinggal di kota-kota yang sudah aku berikan kepada kamu. Aku tahu bahawa ternakan kamu banyak.