12 Tempatnya bukan di langit, maka tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan naik ke sana dan membawanya turun supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’
13 Tempatnya bukan juga di seberang laut. Tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan menyeberangi laut dan membawanya kepada kami supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’
14 Jangan bertanya begitu kerana perintah itu ada dengan kamu. Kamu sudah mengetahuinya dan dapat menghafaznya; kamu hanya perlu melakukannya.
15 Pada hari ini buatlah pilihan antara yang baik dan yang jahat, antara hidup dan maut.
16 Jika kamu mematuhi perintah TUHAN, Allah kamu yang aku berikan kepada kamu hari ini, dan jika kamu mengasihi serta mentaati Dia, dan melakukan semua hukum-Nya, maka kamu akan makmur dan menjadi bangsa yang besar. TUHAN, Allah kamu akan memberkati kamu di tanah yang tidak lama lagi akan kamu duduki.
17 Tetapi jika kamu tidak taat dan tidak mahu mendengar, dan membiarkan diri disesatkan untuk menyembah tuhan-tuhan lain,
18 tentu kamu akan dibinasakan. Umur kamu tidak akan panjang di tanah di seberang Sungai Yordan, yang tidak lama lagi akan kamu duduki. Ingatlah! Aku memberikan amaran kepada kamu hari ini di tempat ini.