9 TUHAN akan menjayakan segala usaha kamu. Kamu akan mempunyai banyak anak dan ternakan; ladang kamu akan mengeluarkan hasil yang berlimpah. TUHAN akan berkenan menjadikan kamu makmur sebagaimana Dia menjadikan nenek moyang kamu makmur.
10 Tetapi kamu mesti taat kepada TUHAN, Allah kamu dan mematuhi segala hukum-Nya yang tertulis di dalam kitab ini, yang mengandungi ajaran-Nya. Kamu mesti kembali kepada-Nya dengan sepenuh hati.
11 Perintah yang aku berikan kepada kamu hari ini tidak terlalu susah ataupun di luar jangkauan.
12 Tempatnya bukan di langit, maka tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan naik ke sana dan membawanya turun supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’
13 Tempatnya bukan juga di seberang laut. Tidak usah kamu bertanya, ‘Siapakah yang akan menyeberangi laut dan membawanya kepada kami supaya kami dapat mendengar dan mentaatinya?’
14 Jangan bertanya begitu kerana perintah itu ada dengan kamu. Kamu sudah mengetahuinya dan dapat menghafaznya; kamu hanya perlu melakukannya.
15 Pada hari ini buatlah pilihan antara yang baik dan yang jahat, antara hidup dan maut.