11 Bacalah Taurat ini bagi umat Israel apabila mereka datang untuk menyembah TUHAN, Allah kamu di satu tempat ibadat itu.
12 Suruhlah semua orang lelaki, perempuan, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal di kota kamu berkumpul, supaya semua orang akan mendengar pembacaan Taurat dan belajar menghormati TUHAN, Allah kamu, serta taat kepada ajaran-Nya dengan setia.
13 Dengan cara itu, keturunan kamu yang belum pernah mendengar Taurat TUHAN, Allah kamu itu dapat mendengarnya. Oleh itu mereka akan belajar menghormati TUHAN selama mereka hidup di tanah yang akan kamu duduki di seberang Sungai Yordan.”
14 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Engkau tidak akan hidup lama lagi. Panggillah Yosua dan bawalah dia ke Khemah-Ku, supaya Aku dapat memberikan petunjuk kepadanya.” Musa dan Yosua masuk ke dalam Khemah TUHAN,
15 dan TUHAN menampakkan diri kepada mereka dalam tiang awan dekat pintu Khemah TUHAN.
16 TUHAN berfirman kepada Musa, “Tidak lama lagi engkau akan meninggal. Setelah kepergianmu, bangsa Israel tidak akan setia kepada-Ku. Mereka akan memungkiri perjanjian yang Aku buat dengan mereka. Mereka akan meninggalkan Aku dan menyembah tuhan-tuhan yang disembah di tanah yang segera akan diduduki mereka.
17 Apabila hal itu berlaku, Aku akan murka kepada mereka. Aku akan meninggalkan mereka dan mereka akan binasa. Banyak malapetaka dahsyat akan menimpa mereka; kemudian mereka akan sedar bahawa semua itu berlaku kepada mereka kerana Aku, Allah mereka, tidak lagi menyertai mereka.