1-2 Musa meneruskan ucapannya kepada umat Israel, “Sekarang aku sudah berumur seratus dua puluh tahun. Aku tidak sanggup lagi menjadi pemimpin kamu. Tambahan pula TUHAN sudah berfirman kepadaku bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan.
3 TUHAN, Allah kamu sendiri akan memimpin kamu dan membinasakan bangsa-bangsa yang tinggal di situ, supaya kamu dapat menduduki tanah mereka. Yosua akan menjadi pemimpin kamu, seperti yang sudah difirmankan TUHAN.
4 TUHAN sendiri akan membinasakan bangsa-bangsa itu, sebagaimana Dia mengalahkan Raja Sihon dan Raja Og, raja-raja orang Amori, serta memusnahkan negeri mereka.
5 TUHAN akan memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu mesti memperlakukan mereka tepat seperti yang sudah aku katakan kepada kamu.