4 TUHAN sendiri akan membinasakan bangsa-bangsa itu, sebagaimana Dia mengalahkan Raja Sihon dan Raja Og, raja-raja orang Amori, serta memusnahkan negeri mereka.
5 TUHAN akan memberi kamu kemenangan atas mereka. Kamu mesti memperlakukan mereka tepat seperti yang sudah aku katakan kepada kamu.
6 Kamu harus yakin dan berani. Jangan takut akan bangsa-bangsa itu. TUHAN, Allah kamu akan menyertai kamu. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan kamu ataupun meninggalkan kamu.”
7 Selepas itu Musa memanggil Yosua dan berkata kepadanya di hadapan semua orang Israel, “Engkau harus yakin dan berani. Engkaulah yang akan memimpin bangsa ini untuk menduduki tanah yang sudah dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang mereka.
8 TUHAN sendiri akan memimpin dan menyertai engkau. Dia tidak sekali-kali akan mengecewakan ataupun meninggalkan engkau. Oleh itu, jangan takut ataupun cemas.”
9 Kemudian Musa menulis Taurat Allah itu dan memberikannya kepada imam-imam Lewi yang mengurus Tabut Perjanjian TUHAN dan kepada para pemimpin umat Israel.
10 Musa memberikan perintah kepada mereka, “Pada akhir setiap tahun ketujuh, dalam tahun penghapusan hutang, bacalah Taurat ini dengan suara kuat pada Perayaan Pondok Daun.