21 Oleh sebab kamu, TUHAN, Allah kamu murka terhadap aku, sehingga Dia bersumpah bahawa aku tidak akan menyeberangi Sungai Yordan untuk pergi ke tanah yang subur, yang akan diberikan-Nya kepada kamu.
22 Aku akan meninggal di sini dan tidak akan menyeberangi sungai itu. Tetapi tidak lama lagi kamu akan menyeberanginya dan menduduki tanah yang subur itu.
23 Ingatlah baik-baik! Jangan lupa akan perjanjian yang dibuat oleh TUHAN, Allah kamu dengan kamu. Taatilah perintah-Nya; jangan sekali-kali membuat berhala dalam bentuk apa pun bagi diri kamu,
24 kerana TUHAN, Allah kamu itu bagaikan api yang menghanguskan. Dia tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun.
25 Apabila kamu telah tinggal lama di negeri itu dan sudah beranak cucu, jangan berdosa dengan membuat berhala dalam bentuk apa pun bagi diri kamu sendiri. Perbuatan itu jahat di sisi TUHAN, dan hal itu akan menyebabkan Dia murka.
26 Pada hari ini aku menyuruh langit dan bumi menjadi saksi terhadap kamu bahawa jika kamu tidak taat kepadaku, kamu akan segera lenyap dari tanah itu. Kamu tidak akan tinggal lama di tanah di seberang Sungai Yordan, yang segera akan kamu duduki. Kamu akan dibinasakan sama sekali.
27 TUHAN akan mencerai-beraikan kamu antara bangsa-bangsa lain, dan hanya sedikit di kalangan kamu akan hidup.