26 Pada hari ini aku menyuruh langit dan bumi menjadi saksi terhadap kamu bahawa jika kamu tidak taat kepadaku, kamu akan segera lenyap dari tanah itu. Kamu tidak akan tinggal lama di tanah di seberang Sungai Yordan, yang segera akan kamu duduki. Kamu akan dibinasakan sama sekali.
27 TUHAN akan mencerai-beraikan kamu antara bangsa-bangsa lain, dan hanya sedikit di kalangan kamu akan hidup.
28 Di sana kamu akan mengabdi kepada tuhan-tuhan yang dibuat oleh tangan manusia, tuhan-tuhan daripada kayu dan batu, yang tidak dapat melihat atau mendengar, makan atau menghidu.
29 Di sana kelak kamu akan mencari TUHAN, Allah kamu, dan jika kamu mencari-Nya dengan segenap hati, kamu akan menemui Dia.
30 Apabila kamu dalam kesusahan dan segala bencana itu menimpa kamu, barulah kamu akan kembali kepada TUHAN, Allah kamu dan taat kepada-Nya.
31 TUHAN, Allah kamu ialah Allah yang berbelas kasihan. Dia tidak akan meninggalkan atau membinasakan kamu. Dia tidak akan melupakan perjanjian yang sudah dibuat-Nya sendiri dengan nenek moyang kamu.
32 Selidikilah masa lampau, lama sebelum kamu dilahirkan, bermula dari masa Allah menciptakan manusia di bumi. Periksalah seluruh bumi ini. Pernahkah perkara sebesar ini berlaku? Pernahkah sesiapa pun mendengar kejadian seperti ini?