30 Apabila kamu dalam kesusahan dan segala bencana itu menimpa kamu, barulah kamu akan kembali kepada TUHAN, Allah kamu dan taat kepada-Nya.
31 TUHAN, Allah kamu ialah Allah yang berbelas kasihan. Dia tidak akan meninggalkan atau membinasakan kamu. Dia tidak akan melupakan perjanjian yang sudah dibuat-Nya sendiri dengan nenek moyang kamu.
32 Selidikilah masa lampau, lama sebelum kamu dilahirkan, bermula dari masa Allah menciptakan manusia di bumi. Periksalah seluruh bumi ini. Pernahkah perkara sebesar ini berlaku? Pernahkah sesiapa pun mendengar kejadian seperti ini?
33 Pernahkah ada bangsa yang tetap hidup setelah mendengar suatu tuhan bersabda dari dalam api sebagaimana yang kamu alami?
34 Pernahkah ada suatu tuhan yang berani mengambil suatu umat daripada bangsa lain lalu menjadikan umat itu umatnya sendiri, seperti yang dilakukan oleh TUHAN, Allah kamu bagi kamu di Mesir? Di depan mata kamu sendiri Dia telah menggunakan kuasa dan kekuatan-Nya yang besar; Dia mendatangkan wabak dan peperangan, melakukan mukjizat dan keajaiban, serta menyebabkan perkara-perkara dahsyat berlaku.
35 TUHAN telah melakukan semua perkara itu supaya kamu tahu bahawa Dia satu-satunya Allah, dan tidak ada yang lain.
36 Dia membenarkan kamu mendengar suara-Nya dari langit supaya Dia dapat mengajar kamu; di bumi ini Dia membenarkan kamu melihat api-Nya yang suci, dan dari api itu Dia berfirman kepada kamu.