38 Dia mengusir bangsa-bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada kamu, supaya Dia boleh membawa kamu ke tanah mereka, dan memberikan tanah itu kepada kamu. Hingga sekarang tanah itu masih menjadi milik kamu.
39 Oleh itu ingatlah hari ini dan jangan lupa bahawa TUHAN satu-satunya Allah di langit dan di bumi; tidak ada yang lain.
40 Patuhilah semua hukum-Nya yang sudah aku berikan kepada kamu hari ini, maka kamu dan keturunan kamu akan sejahtera. Kamu akan tetap tinggal di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah kamu kepada kamu untuk menjadi milik kamu selama-lamanya.”
41 Kemudian Musa memilih tiga buah kota di sebelah timur Sungai Yordan.
42 Kota-kota itu menjadi tempat seseorang menyelamatkan diri, jika dengan tidak sengaja dia membunuh seorang yang bukan musuhnya. Orang yang telah membunuh itu boleh lari ke salah satu kota itu dan dia tidak akan dibunuh.
43 Kota Bezer di dataran tinggi padang gurun diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Ruben. Kota Ramot di daerah Gilead diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Gad. Kota Golan di daerah Basan diberikan sebagai kota perlindungan bagi suku Manasye.
44 Musa memberikan hukum dan ajaran Allah kepada umat Israel.