5 Kasihilah TUHAN, Allah kamu dengan segenap hati: Tunjukkanlah kasih itu dalam cara hidup dan perbuatan kamu.
6 Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini.
7 Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu. Percakapkanlah hukum itu semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja.
8 Ikatkan hukum itu pada lengan kamu dan ikatkannya pada dahi kamu sebagai peringatan.
9 Tuliskanlah hukum itu pada tiang pintu rumah dan pada pintu pagar kamu.”
10 “TUHAN, Allah kamu telah berjanji kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub bahawa Dia akan memberi kamu tanah yang mempunyai kota-kota besar dan makmur, yang tidak kamu bina.
11 Rumah-rumah di situ penuh dengan barang-barang baik, yang tidak kamu simpan. Terdapat juga perigi-perigi yang tidak kamu gali, serta ladang anggur dan kebun zaitun, yang tidak kamu tanam. Apabila TUHAN membawa kamu ke tanah itu dan kamu mempunyai segala sesuatu yang kamu ingin makan,