1 “Patuhilah dengan setia semua hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini, supaya kamu tetap hidup dan bilangan kamu bertambah, dan dapat menduduki tanah yang dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu.
2 Ingatlah bagaimana TUHAN, Allah kamu memimpin kamu dalam perjalanan jauh di padang gurun selama empat puluh tahun yang lampau; Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu supaya Dia dapat mengetahui isi hati kamu, dan mengetahui sama ada kamu akan taat kepada perintah-Nya atau tidak.
3 Dia membiarkan kamu kelaparan lalu memberi kamu manna, iaitu sejenis makanan yang belum pernah dimakan oleh kamu atau nenek moyang kamu. Dia berbuat demikian untuk mengajar kamu bahawa manusia tidak hidup dengan roti sahaja, melainkan dengan tiap-tiap firman TUHAN.
4 Selama empat puluh tahun itu, pakaian kamu tidak menjadi usang, dan kaki kamu tidak menjadi bengkak.
5 Ingatlah, TUHAN, Allah kamu menegur ajar kamu sama seperti seorang bapa menegur ajar anak-anaknya.