13 apabila lembu dan domba, emas dan perak, serta segala harta kamu yang lain sudah bertambah banyak,
14 pastikanlah supaya kamu tidak menjadi sombong, dan tidak lupa akan TUHAN, Allah kamu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu diperhamba dahulu.
15 Dia telah memimpin kamu melalui padang gurun yang luas dan menakutkan itu, tempat yang dihuni ular berbisa dan kala jengking. Di tanah yang kering dan tidak berair itu, Dia memancarkan air dari bukit batu untuk kamu.
16 Di padang gurun Dia memberi kamu manna, sejenis makanan yang tidak pernah dimakan oleh nenek moyang kamu. Dia mendatangkan kesukaran untuk menguji kamu, supaya pada akhirnya Dia dapat berbuat baik kepada kamu.
17 Oleh itu, jangan sekali-kali berfikir bahawa kamu menjadi kaya kerana kuasa dan kekuatan kamu sendiri.
18 Ingatlah, bahawa TUHAN, Allah kamu itulah yang menjadikan kamu kaya. Dia melakukan hal itu kerana sampai hari ini, Dia masih setia kepada perjanjian yang dibuat-Nya dengan nenek moyang kamu.
19 Jangan lupa akan TUHAN, Allah kamu, dan jangan pergi kepada tuhan-tuhan lain untuk menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan itu. Aku memberi amaran kepada kamu hari ini bahawa jika kamu melakukannya juga, kamu pasti binasa.