14 Jangan cuba halang Aku. Aku bercadang untuk membinasakan mereka supaya tidak seorang pun akan ingat pada mereka lagi. Kemudian Aku akan menjadikan engkau bapa suatu bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada mereka.’
15 Kemudian aku turun dari gunung itu sambil membawa dua buah batu tulis yang ditulisi perjanjian itu. Api yang bernyala-nyala kelihatan di gunung itu.
16 Aku melihat betapa cepatnya kamu sudah melanggar hukum yang diberikan TUHAN, Allah kamu, dan aku melihat bahawa kamu sudah berdosa terhadap-Nya. Kamu sudah membuat sebuah berhala daripada logam untuk diri kamu sendiri, iaitu berhala yang berbentuk lembu.
17 Oleh itu, di depan mata kamu, aku membanting dua buah batu tulis itu sehingga pecah berkeping-keping.
18 Kemudian sekali lagi aku bersujud di hadapan TUHAN selama empat puluh hari dan empat puluh malam, dan aku tidak makan atau minum apa-apa pun. Aku berbuat demikian kerana kamu telah berdosa terhadap TUHAN dan menyebabkan Dia murka.
19 Aku takut akan kemurkaan TUHAN, kerana Dia begitu murka sehingga mahu membinasakan kamu, tetapi kali ini pun TUHAN mendengarkan aku.
20 TUHAN sangat murka kepada Harun sehingga mahu membinasakannya. Maka pada masa itu juga, aku berdoa untuk Harun.