Yudit 1 BMDC

Perang antara Raja Nebukadnezar dan Raja Arfaksad

1 Sementara Raja Nebukadnezar, raja Asyur memerintah di kota besar Niniwe, Raja Arfaksad, raja Media memerintah di kota Ekbatana.

2 Raja Arfaksad mendirikan tembok di sekeliling kota Ekbatana. Tembok itu tingginya 35 meter dan tebalnya 25 meter, dibina daripada batu pahatan, lebarnya 1.5 meter dan panjangnya 3 meter.

3 Pada setiap pintu gerbang didirikan sebuah menara setinggi 50 meter, dengan asasnya setebal 30 meter.

4 Setiap pintu gerbang tingginya 35 meter dan lebarnya 20 meter, supaya dapat dilalui oleh seluruh tentera baginda, termasuk semua pasukan tentera berjalan kaki.

5 Dalam tahun kedua belas pemerintahan baginda, Raja Nebukadnezar berperang melawan Raja Arfaksad di dataran luas di sekitar kota Ragau.

6 Raja Arfaksad mempunyai banyak sekutu, iaitu semua penduduk pergunungan, penduduk tepi Sungai Tigris, Sungai Efrat, dan Sungai Hidaspes, dan penduduk dataran yang diperintah oleh Raja Ariokh dari Elumais. Banyak bangsa lain lagi menggabungkan diri dengan tentera orang Heleud itu.

7 Maka Raja Nebukadnezar, raja Asyur mengirim pesan kepada bangsa-bangsa lain supaya bersekutu dengan baginda. Pesan itu dikirimnya kepada semua penduduk negeri Persia, penduduk daerah barat, daerah Kilikia, Damsyik, Lebanon, dan Antilebanon, serta kepada penduduk pantai

8 dan penduduk daerah Karmel, Gilead, Galilea Utara, dan dataran besar Esdrelon.

9-10 Pesan itu dikirimnya juga kepada penduduk Samaria dan kota-kota di sekitarnya, kepada penduduk di sebelah barat Sungai Yordan hingga ke Yerusalem, Batane, Helus, dan Kades, Wadi El-Aris dan kota Tafne, Raamses serta seluruh wilayah Gosyen sampai ke kota Tanis dan Memfis, pendeknya kepada seluruh penduduk Mesir sehinggalah ke perbatasan Etiopia.

11 Tetapi penduduk di seluruh daerah itu tidak mengendahkan ajakan Raja Nebukadnezar. Mereka tidak mahu ikut berperang, kerana mereka tidak takut kepada baginda. Mereka fikir bahawa Raja Nebukadnezar tidak berdaya. Para utusan raja itu diejek dan disuruh pulang tanpa hasil.

12 Maka meledaklah kemurkaan Raja Nebukadnezar. Baginda bersumpah akan mempertaruhkan seluruh kerajaan baginda untuk menumpas semua penduduk Kilikia, Damsyik, Siria, Moab, Amon, Yudea, dan Mesir, iaitu semua bangsa yang tinggal di antara Laut Tengah dan Teluk Persia.

13 Pada tahun ketujuh belas pemerintahan baginda, Raja Nebukadnezar mengerahkan seluruh tentera baginda dalam pertempuran melawan Raja Arfaksad. Seluruh tentera Raja Arfaksad dikalahkan baginda, termasuk pasukan berkuda dan pasukan berkereta kuda.

14 Lalu Raja Nebukadnezar menduduki semua kota di negeri Media dan menyerang kota Ekbatana. Menara-menara kota itu dirampas, pasar-pasar dirompak, dan kota yang indah itu dijadikan puing-puing.

15 Raja Arfaksad ditangkap di pergunungan Ragau, lalu dibunuh dengan lembing.

16 Sesudah itu Raja Nebukadnezar dan seluruh tentera baginda yang sangat besar kembali ke Niniwe. Empat bulan lamanya mereka berpesta pora dan bersenang-senang di sana.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16