Yudit 13 BMDC

Yudit Membunuh Holofernes

1 Ketika hari sudah jauh malam, para hamba segera meninggalkan tempat itu. Lalu Bagoas menutup khemah dari luar supaya hamba-hamba Holofernes tidak dapat masuk. Mereka sekalian pergi ke tempat tidur, oleh sebab semuanya sudah lelah kerana jamuan minum itu berlangsung lama.

2 Yudit ditinggalkan seorang diri di dalam khemah bersama-sama Holofernes yang terbaring mabuk di tempat tidurnya.

3 Yudit menyuruh hamba perempuannya berdiri di luar bilik tidur dan menunggu di situ sehingga dia keluar seperti pada hari-hari lainnya. Hal itu demikian kerana dia sudah mengatakan kepadanya dan juga kepada Bagoas bahawa dia akan pergi untuk berdoa seperti biasa.

4 Waktu itu semua sudah pergi; tinggal Yudit dan Holofernes sahaja di dalam bilik tidur. Yudit berdiri di sebelah tempat tidur Holofernes dan berdoa dalam hati, “Ya Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, tolonglah aku melakukan hal ini demi keagungan Yerusalem.

5 Sekarang sudah tiba saatnya menyelamatkan bangsa pilihan-Mu. Tolonglah aku untuk melaksanakan rancangan ini untuk membinasakan musuh yang mengancam kami.”

6 Lalu Yudit mendekati kepala Holofernes dan mengambil pedang Holofernes.

7 Dia lebih mendekat lagi, lalu dipegangnya rambut Holofernes dan berkata, “Ya Tuhan, Allah Israel, berilah aku kekuatan sekarang juga.”

8 Lalu dengan sekuat tenaga dipotongnya tengkuk Holofernes sehingga dua kali, dan dengan demikian dipenggalnya kepala Holofernes.

9 Badan Holofernes digulingkannya dari tempat tidur, lalu diambilnya kelambu dari tiang-tiangnya. Sesudah itu dia keluar dan menyerahkan kepala Holofernes kepada hamba perempuannya,

10 yang memasukkannya ke dalam kantung makanan.Kemudian kedua-dua orang wanita itu berangkat bersama-sama seperti biasanya apabila mereka hendak berdoa. Sesudah berjalan melalui perkhemahan Asyur, mereka menyeberang lembah dan naik lereng gunung sehingga pintu gerbang Betulia.

Yudit dan Hambanya Kembali ke Betulia

11 Ketika masih agak jauh, Yudit berseru kepada penjaga- penjaga gerbang itu, “Buka pintu! Buka pintu! Allah menyertai kita! Hari ini Dia menunjukkan bahawa Dia masih menggunakan kekuatan-Nya di Israel untuk melawan musuh-musuh kita!”

12 Pada waktu orang di situ mendengar suaranya, mereka cepat-cepat turun ke pintu gerbang dan memanggil para pemimpin kota.

13 Semua orang, tua dan muda lari ke pintu gerbang. Tidak seorang pun menyangka bahawa Yudit sudah kembali. Mereka membuka pintu gerbang dan menyambut Yudit serta hamba perempuannya. Kemudian mereka menyalakan api unggun supaya terang, dan berdiri mengerumuni Yudit dan hambanya.

14 Yudit berseru, “Pujilah Allah, pujilah Dia! Pujilah Allah yang tetap mengasihani Israel umat-Nya. Malam ini Dia menghancurkan musuh kita dengan perantaraan saya.”

15 Lalu dikeluarkannya kepala Holofernes dari kantung dan diperlihatkannya kepada orang di situ. Katanya, “Ini kepala Holofernes, panglima tinggi tentera Asyur, dan ini kelambu dari tempat tidurnya, tempat dia berbaring dalam keadaan mabuk. Allah telah membinasakannya dengan perantaraan seorang wanita.

16 Demi Allah Yang Hidup, saya bersumpah bahawa Holofernes tidak menyentuh saya. Memang dia terpedaya oleh wajah saya sehingga menemui ajalnya. Saya tak dicemarkan atau dinodai, oleh sebab selama itu Tuhan tetap melindungi saya.”

17 Seluruh penduduk kota kehairanan. Mereka sujud menyembah Allah dan berdoa bersama, “Allah kami, terpujilah Engkau. Hari ini Engkau mengalahkan musuh-musuh bangsa kami.”

18 Lalu Uzia berkata kepada Yudit, “Allah Yang Maha Tinggi telah memberkati engkau melebihi semua wanita di bumi. Terpujilah Tuhan Allah, yang mencipta langit dan bumi! Engkau dibimbing-Nya pada waktu memenggal kepala panglima musuh kita.

19 Kepercayaanmu kepada Allah akan tetap diingat oleh semua orang yang mengenang kuasa-Nya.

20 Semoga kerana jasamu itu Allah memberi engkau kehormatan untuk selama-lamanya dan melimpahi engkau dengan berkat-Nya, oleh sebab engkau tetap setia kepada-Nya. Ketika bangsa kita dihina, engkau tak ragu-ragu untuk keluar dan mempertaruhkan nyawamu supaya kita tak dibinasakan.” Semua orang menjawab, “Amin, Amin!”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16