Yudit 10 BMDC

Yudit Pergi ke Khemah Holofernes

1 Setelah selesai berdoa kepada Allah Israel,

2 Yudit bangkit, memanggil hamba perempuannya, lalu turun ke rumah tempat dia biasa tinggal pada hari Sabat dan hari perayaan.

3 Dia menanggalkan kain guni tanda berkabung dan pakaian balunya, lalu mandi dan memakai wangi-wangian yang paling baik. Disisirnya rambutnya dan diikatnya dengan pita. Lalu dikenakannya pakaian pesta yang dipakai sewaktu Manasye, suaminya masih hidup.

4 Dia memakai kasut dan perhiasan yang paling bagus, cincin dan anting-anting serta gelang di tangan dan kaki. Dia kelihatan sangat cantik, sehingga dapat menawan hati setiap lelaki yang melihatnya.

5 Yudit menyuruh hamba perempuannya membawa kantung kulit berisi wain dan kendi berisi minyak. Lalu diisinya sebuah kantung dengan sejenis tepung gandum, buah kering, dan beberapa ketul roti yang dibuat menurut aturan agama Yahudi. Semua bekal itu dibungkusnya lalu diserahkannya kepada hamba perempuannya.

6 Kemudian kedua-dua orang wanita itu keluar menuju pintu gerbang Betulia dan mendapati Uzia, Habris, dan Harmis sedang berjaga di situ.

7 Mereka melihat Yudit yang sudah berdandan dan berganti pakaian, dan sangat terpesona oleh kecantikannya. Kata mereka kepadanya,

8 “Semoga Allah nenek moyang kita memberkati engkau dan membuat rancanganmu berhasil bagi kejayaan Yerusalem dan kemenangan Israel.”

9 Yudit sujud dan berdoa kepada Allah, lalu berkata kepada mereka, “Suruhlah orang membuka pintu untuk kami. Sekarang saya akan melakukan apa yang sudah kita bincangkan itu.” Para pemuda diperintahkan untuk membuka pintu gerbang baginya,

10 lalu Yudit dan hambanya perempuan meninggalkan kota. Orang di situ mengamatinya sementara dia turun dari gunung menuju ke lembah, sehingga dia tidak kelihatan lagi.

11 Kedua-dua orang wanita itu melanjutkan perjalanan mereka di lembah, sehingga dijumpai oleh askar-askar Asyur yang sedang membuat rondaan.

12 Yudit ditahan dan ditanya oleh mereka, “Kamu bangsa apa? Dari mana dan mahu ke mana?”“Saya orang Ibrani,” jawabnya, “tapi saya lari daripada bangsa saya kerana Allah akan membiarkan kamu membinasakan mereka.

13 Sekarang saya ingin menghadap Holofernes, panglima tinggi tentera kamu, untuk menyampaikan keterangan penting. Saya dapat menunjukkannya jalan yang harus ditempuh supaya dapat menguasai seluruh daerah ini tanpa kehilangan seorang pun daripada anak buahnya.”

14 Orang di situ terpukau melihat kecantikan Yudit. Setelah mendengar ceritanya, mereka berkata,

15 “Kamu selamat kerana segera datang ke sini untuk menemui panglima kami. Sila pergi ke khemahnya sekarang juga. Beberapa orang kami akan mengawal dan menyerahkan kamu kepada panglima.

16 Kamu tak perlu takut apabila menghadapnya. Katakan saja kepadanya apa yang telah kamu katakan kepada kami. Pasti kamu akan diperlakukan dengan baik.”

17 Lalu mereka memilih seratus orang untuk mengawal Yudit dan hamba perempuannya ke khemah Holofernes.

18 Berita tentang kedatangan Yudit disiarkan dari khemah ke khemah, lalu dari seluruh perkhemahan Asyur, orang datang berkerumun. Sementara Yudit menunggu di luar khemah Holofernes sehingga dipersilakan masuk, dia dikerumuni banyak askar Asyur.

19 Mereka tercengang melihat kecantikannya dan berfikir-fikir bagaimana rupa orang bangsa Israel itu. “Siapakah dapat menghina bangsa yang mempunyai wanita-wanita yang begitu cantik?” tanya mereka satu sama lain. “Lebih baik kita bunuh semua lelakinya; kalau tidak, orang Yahudi akan memperdayakan seluruh dunia.”

20 Kemudian keluarlah beberapa orang pengawal peribadi Holofernes dan hamba-hambanya dan mereka menghantar Yudit masuk ke dalam khemah.

21 Holofernes sedang berbaring di tempat tidurnya di bawah kelambu yang ditenun daripada benang ungu dan benang emas serta dihias dengan zamrud dan batu-batu berharga.

22 Ketika diberitahukan tentang Yudit, Holofernes bangkit dan pergi ke bahagian hadapan khemahnya, didahului oleh hamba-hamba yang membawa pelita daripada perak.

23 Waktu Yudit tampil di hadapan Holofernes dan hamba-hambanya, mereka hairan melihat kecantikannya. Yudit sujud di hadapan Holofernes, tetapi hamba-hambanya menolong Yudit bangkit.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16