Yudit 14 BMDC

Siasat Yudit

1 Lalu Yudit berkata kepada mereka, “Saudara-saudara, dengarlah nasihat saya. Ambillah kepala ini dan gantungkannya di atas tembok kota.

2 Pilihlah seorang antara kalian untuk memimpin semua lelaki yang mampu berjuang. Pagi-pagi mereka harus mengangkat senjata dan di bawah pimpinan orang itu berbaris keluar kota, seolah-olah hendak pergi ke lembah untuk menyerang pasukan kawalan depan Asyur. Tapi jangan sungguh-sungguh turun.

3 Penjaga-penjaga Asyur akan mengambil senjata dan lari ke perkhemahan untuk membangunkan para perwira. Perwira-perwira itu akan lari ke khemah Holofernes tapi tak menemukan dia. Seluruh tentera mereka akan gempar dan mundur sementara kamu maju menyerang mereka.

4 Kamu dan orang Israel lainnya akan dapat mengejar dan membunuh mereka pada waktu mereka mundur.

5 Tapi sebelum itu, suruhlah Akhior orang Amon itu ke mari. Saya ingin tahu apakah dia mengenali Holofernes, orang yang telah menghina Israel dan telah mengirim Akhior kepada kita supaya dia binasa bersama-sama kita.”

Akhior Bertaubat

6 Lalu mereka memanggil Akhior dari rumah Uzia. Ketika dia datang dan melihat kepala Holofernes di tangan salah seorang daripada mereka, dia jatuh pengsan.

7 Mereka menolong menyedarkan dia, lalu dia sujud pada kaki Yudit. “Semoga engkau dihormati oleh setiap keluarga di tanah Yudea,” katanya, “dan semoga setiap bangsa gementar ketakutan apabila mendengar namamu.

8 Ceritakanlah apa yang telah kaulakukan.”Di hadapan orang banyak yang berkerumun, Yudit memberitahu Akhior segala yang telah dilakukannya, sejak dia meninggalkan kota sehingga saat itu.

9 Selesai berbicara, Yudit disambut dengan sorak-sorai yang gemuruh sehingga seluruh kota bergema dengan pekik gembira.

10 Setelah mendengar segala sesuatu yang dilakukan Allah Israel, Akhior percaya dengan sepenuh hati. Dia disunat dan menjadi anggota umat Israel. Begitu juga keturunannya sehingga hari ini.

Kegemparan di Perkhemahan Holofernes

11 Ketika fajar menyingsing, orang Israel menggantungkan kepala Holofernes di tembok kota. Kaum lelaki Israel mengangkat senjata, lalu pasukan demi pasukan keluar ke lereng gunung.

12 Apabila melihat hal itu, orang Asyur melaporkannya kepada para pegawai, dan mereka melaporkannya pula kepada atasan mereka.

13 Lalu atasan mereka pergi ke khemah Holofernes dan berkata kepada Bagoas, “Bangunkan panglima! Hamba-hamba itu berani turun dari gunung untuk bertempur dengan kita. Rupanya mereka ingin dibinasakan.”

14 Maka masuklah Bagoas dan bertepuk tangan di hadapan tirai khemah Holofernes. Dia menyangka Holofernes sedang tidur bersama Yudit.

15 Oleh sebab tidak ada jawapan, Bagoas membuka tirai dan masuk ke bilik tidur. Didapatinya badan Holofernes terbaring tanpa kepala di lantai.

16 Bagoas menjerit. Dia berteriak, mengoyak pakaiannya dan menangis meraung-raung.

17 Dia masuk ke dalam khemah Yudit, tetapi tidak mendapati wanita itu. Lalu dia lari keluar dan berteriak kepada rakyat,

18 “Kita dikhianati! Seorang wanita Israel telah mendatangkan malu atas seluruh kerajaan Raja Nebukadnezar. Lihatlah, Holofernes rebah di situ dan kepalanya tak ada lagi!”

19 Apabila mendengar hal itu, para pegawai mengoyak pakaian mereka kerana sangat sedih. Di seluruh perkhemahan terdengar teriakan dan jeritan yang sangat kuat.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16