Yudit 9 BMDC

Doa Yudit

1 Lalu Yudit menaburkan abu di atas kepalanya dan menanggalkan bajunya sehingga nampak kain guni yang sedang dipakainya. Tepat pada saat itu di Rumah Allah di Yerusalem dipersembahkan kemenyan petang. Yudit sujud menyembah lalu berdoa dengan suara nyaring,

2 “Ya Tuhan, Allah leluhurku Simeon, ingatlah bagaimana Engkau mempersenjatainya dengan pedang untuk menghukum orang asing yang memperkosa Dina yang perawan. Mereka telah menanggalkan pakaiannya dan menodainya, walaupun Engkau melarang perbuatan itu.

3 Oleh itu Kaubiarkan pemimpin-pemimpin mereka dibunuh di katil yang sama, di tempat mereka menodai gadis itu. Kaubinasakan mereka semua, hamba-hamba dengan tuannya dan para penguasa di atas takhtanya.

4 Kaubiarkan isteri mereka dirampas, anak-anak mereka ditawan dan barang-barang mereka menjadi milik orang Israel, umat-Mu yang terkasih, yang giat melaksanakan kehendak-Mu. Saudara-saudara Dina sangat marah kerana kehormatan keluarga mereka dinodai. Maka mereka memohon pertolongan-Mu.Ya Allahku, dengarlah juga doaku, doa seorang balu.

5 Tangan-Mu membimbing semua kejadian dahulu, sekarang dan pada masa yang akan datang. Semua itu sudah Kaurancangkan dan semua rancangan-Mu selalu terlaksana.

6 Apa yang Kaurancangkan segera terjadi. Segala tindakan-Mu sudah disiapkan dan keputusan-Mu sudah Kauketahui sebelumnya.

7 Lihatlah, orang Asyur sudah datang dengan penuh kekuatan. Mereka membanggakan pasukan berkuda dan pasukan tentera berjalan kaki mereka serta bergantung kepada senjata mereka. Tapi mereka tak tahu bahawa Engkaulah Tuhan yang menghancurkan alat-alat perang.

8 Engkaulah Tuhan. Dengan kekuasaan-Mu dan dalam kemurkaan-Mu, hancurkanlah tentera mereka yang dahsyat. Mereka berniat untuk mencemarkan Rumah-Mu tempat Engkau tinggal dengan mulia, dan mahu mematahkan tanduk-tanduk mazbah-Mu dengan besi.

9 Lihatlah keangkuhan mereka dan biarlah mereka kena luapan kemurkaan-Mu. Aku ini hanya balu. Berilah aku kekuatan untuk menjalankan rancanganku.

10 Gunakanlah kata-kataku yang mempunyai muslihat untuk memukul mereka semua sehingga mati, baik tuan mahupun hamba. Biarlah kesombongan mereka dipatahkan oleh kekuatan seorang wanita!

11 Kuasa-Mu tak bergantung pada besar kecilnya tentera atau pada kekuatannya. Engkaulah Allah yang memperhatikan orang yang hina dan menolong orang yang kecil. Engkau menopang dan melindungi orang yang lemah dan tak berupaya; Kauselamatkan mereka yang sudah kehilangan harapan.

12 Dengarlah doaku, ya Allah nenek moyangku, Allah pujaan Israel, Penguasa syurga dan bumi, Pencipta sungai dan lautan, Raja segenap ciptaan. Dengarlah doaku dan

13 usahakanlah supaya tipu dayaku melukai dan membunuh semua orang yang telah merancangkan kejahatan yang kejam terhadap perjanjian-Mu dan Rumah-Mu yang suci, terhadap Bukit Sion dan tempat kediaman umat-Mu, pusaka mereka.

14 Semoga seluruh bangsa dan setiap suku mengakui bahawa Engkaulah Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Kuat, dan bahawa Engkau sendiri melindungi bangsa Israel.”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16